Kadang-kadang aku cuma duduk tergelak sorang-sorang
kadang-kadang takut juga bila membaca kelantangan manusia.
Oh tidak, bukan aku takut pada mereka. tidak pernah terlintas untuk takut pada manusia.
cuma takut kalau-kalau terpalit dan terjangkit kebodohan dan kedangkalan peri laku dan tindak tanduk
ya, kau bebas bersuara dan menulis dan menyalak apa sahaja
katanya sekarang dunia tanpa sepadan
kentut kecik kentut besar semua kau boleh pung pang dengan bebas
negara kita sudah merdeka kan?
Tapi aku cukup takut, kalau-kalau prinsip diri yang kononnya kau cukup banggakan, akhir nanti kelak
makan diri.
takut mancis yang kau main, menjilat tubuh sendiri
kalau bukan sekarang, di kemudian hari.
Orang bilang, kadang-kadang Tuhan sengaja biarkan kau nampak megah dan seperti seorang pemenang
kadang-kadang, Tuhan juga selalu izinkan kau terlihat besar dan hebat depan mata orang
busuk pekung kita selalu Dia murah hati untuk tolong tutup.
Cuma kalau mulut yang satu Tuhan beri pinjam (kecuali perempuan lah, ada 2 mulut kan?),
pun dah cukup buat kau jadi terlalu ego dan sombong, bercakap macam guruh turun memanah manusia
siapa yang kau tak suka semua kena sambar
hurm, masalahnya ramai sangat manusia yang kau nampak busuk dan buruk.
persoalan aku, memang manusia sekeliling kau terlalu buruk atau kau cuma perasan bagus.
Tak apalah.
manusia memang sengaja dicipta dengan ragam yang bermacam.
ada yang suka rasa berkuasa
ada yang suka terlihat bijak
ada yang suka menampakkan sisi mulia tapi 17 saat lepas berpisah terus diasah tanduk di kepala
ada juga yang rasa kuat dikelompok-kelompok yang setia menyokong
ada yang suka buat-buat bodoh
ada yang selekeh tak pernah kemas
ada yang bersiap berhias tak pernah penat
dan ada yang pemalas mengalahkan keldai
ada yang pantas macam arnab nak menang perlumbaan.
Cuma, aku selalu ingat
setiap kata-kata
malah setiap patah yang kita tulis
boleh menjadi tiket membahagiakan di hari sana
atau menjadi senjata yang akan makan semula diri kita
sama ada boleh memberi nilai tambah amal
atau menjadi pencetus sengketa yang tak pernah nampak penghujung
semuanya kita yang tentukan
kerana pilihat sentiasa ada di tangan
tak apa lah
mulut masing-masing
sendiri cakap sendiri tanggung.
Sekurang-kurangnya, kita masih boleh saling belajar
kalau kau tak nampak, aku masih banyak belajar dari satu momen hidup aku
terima kasih lah atas ilmu-ilmu itu.
Ada yang bertanya, mesti kau menyesal memasukkan babak-babak begitu dalam bingkai hidup
jujur, aku jawab tidak
Lillahitaala.
tak aku menyesal
macam aku cakap, sekurang-kurangnya aku belajar
belajar untuk tak jadi macam manusia yang kau tak suka, itu satu nikmat juga
dan peringatan kepada diri sendiri.
Tuhan beri nikmat bukan untuk dijadikan senjata untuk saling berbalas serangan.
Bahagia itu kadang-kadang terlalu aneh dan janggal untuk ditafsir dalam satu acuan yang sama.
ada orang bahagia walau cuma menjilat ais krim murah
ada juga yang makan di restoran mewah tapi temboloknya jarang untuk merasa puas
ada yang terasa kaya bila membeli baju baru walau harga cuma rm15 dibeli ketika jualan murah
ada juga tak pernah puas dengan busana berharga belasan ribu walau terdedah segala lurah.
bahagia kita tak pernah sama.