Rabu, 13 Januari 2016

Langit Cinta - Agungkah Sebuah Cinta?

Salam sejahtera.

Macam biasa, aku akan bubuh entri lepas berbulan-bulan sunyi sepi. Alang-alang sekarang ada banyak masa, alang-alang jobless sekarang, saja pula nak cuba buat ulasan filem. Sabtu lepas aku pi tonton Langit Cinta, pukul 10.20 pagi dah terpacak kat kaunter beli tiket. So saja nak share pendapat aku pasal filem ni.

DISCLAIMER:
Ini sekadar pandangan peribadi sahaja. Aku bukan pelajar filem, bukan juga ada latar belakang dalam kritikan filem, sekadar seorang peminat cerita yang selalu melaburkan duit hampir setiap minggu ke panggung. Juga pembaca portal-portal hiburan yang ada memuatkan ulasan dan kritikan filem. Segala percanggahan pendapat, boleh saja utarakan di ruangan komen. Boleh juga berikan kritikan membina dan juga cadangan. 


REVIEW FILEM LANGIT CINTA (3 bintang)




Saya terpanggil untuk menonton filem Langit Cinta atas beberapa sebab, antaranya mahu membalas dendam untuk menonton filem bertalu-talu selepas beberapa bulan perlu mengawal nafsu, selain mahu menonton the one and only Fazura (walaupun ramai masih bengang dengan isu Kim-K, but hey who cares! Sebagai peminat filem, saya ketepikan sentimen dan isu ini), selain mahu juga menonton karya terbaru adaptasi novel olahan Osman Ali. Adakah Osman mampu mengulangi kejayaan kutipan Ombak Rindu, atau adakah Langit Cinta ini sekadar perjalanan kisah cinta melankolik seperti Pilot Kafe. Genre cinta suci adalah makanan Osman Ali, namun sejauh manakah Langit Cinta mampu meninggalkan kesan kepada penonton. Saya sengaja menonton tayangan seawal jam 10.25 pagi Sabtu lepas kerana mahu elak sesak dengan pasangan remaja bercinta yang pasti berpusu-pusu pada hujung minggu. Ada juga lah sepasang remaja yang bukan main lentok-lentok kepala atas bahu teman lelaki sambil layan filem ini. Bukan main budak-budak zaman sekarang.

Membariskan nama besar dan pemenang anugerah dalam dunia perfileman tanah air, ternyata Osman Ali sebagai pengarah dan Astro Shaw selaku penerbit berhati-hati dalam mencipta formula bagi menjamin kejayaan Langit Cinta. Kalau sebelum ini filem-filem Osman Ali pasti akan ditunjangi oleh Maya Karin (lihat saja Anak Halal, Cun, Jwanita, dan Ombak Rindu), kali ini beliau mempertaruhkan Nur Fazura selaku teraju utama. Watak Khadeja selaku gadis kampung di sebuah pulau kecil menuntut Osman mengetengahkan pelakon yang berwajah Melayu asli, dan ternyata pemilihan Fazura untuk mendukung karakter Siti Nur Khadeja adalah pilihan yang tepat. Pelakon jelita yang baru menggenggam trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ini punya aura dan pengaruh yang besar dalam kalangan pengikut industri hiburan. Keupayaan Fazura selaku pelakon terbukti dengan beberapa anugerah yang dia terima.



The beautiful Fazura

Watak Alif Zulkarnain selaku anak kepada pemaju projek eko-pelancongan diserahkan kepada Keith Foo, pelakon yang mula membina nama sebagai model dan pelakon filem di Indonesia. Saya kira wajah kacukan Keith Foo begitu cocok untuk membawakan karakter ini, kerana Alif digambarkan sebagai seorang jejaka bandar dan urban. Alif diperintahkan oleh ayahnya, Datuk Afendi (Datuk Jalaludin Hassan) untuk meyakinkan penduduk kampung bagi menjual tanah mereka bagi dibangunkan mereka, lebih-lebih lagi apabila Khadeja telah menentang secara lantang dalam perjumpaan bersama orang kampung. Di sinilah kisah cinta dua darjat bermula, apabila Alif terpikat pada kecantikan dan keperibadian Khadeja yang sungguh tegas dalam memastikan tanah pusaka arwah ayahnya tidak terjual. Alif yang pada awalnya perlu memastikan Khadeja menjual tanah pusakanya, namun dia pula jatuh cinta dengan si gadis desa.



  Perjalanan Langit Cinta saya kira berlangsung mendatar, di mana penonton cuma perlu duduk dan menyaksikan pergerakan cerita dari babak ke babak tanpa perlu berfikir banyak. Saya sedikit kecewa kerana isu yang dibawakan Langit Cinta terlalu biasa, dan selalu saja kita lihat di slot cerekarama dan telenovela tempatan. Kisah cinta terhalang dua jiwa yang datang dari latar belakang dan darjat yang jauh berbeza, suatu isu yang terlalu biasa untuk diangkat dan ditayangkan di layar lebar. Namun perlu juga saya fahami bahawa filem ini adalah adaptasi daripada novel, jadi kisah-kisah sebegini masih mendominasi selera pembaca-pembaca novel di Malaysia (dan pembaca utama novel begini ialah gadis dan remaja). Tiada plot twist dalam filem ini yang membuatkan penonton tertanya-tanya dan berteka-teki, rasanya penonton boleh meneka apa yang akan terjadi pada babak seterusnya tanpa ada masalah walaupun tidak pernah membaca novel ini.

  Langit Cinta menceritakan kisah cinta Khadeja dan Alif, yang mana Alif akhirnya dibuang keluarga oleh Datuk Afendi apabila menolak untuk dijodohkan dengan Suzana (Siti Saleha), anak kepada kawan baik Datuk Afendi dan Datin Soraya. Jawatan dan harta Alif ditarik balik, hingga Alif terpaksa bekerja sebagai nelayan di kampung. Namun Alif bahagia dengan jalan yang dipilihnya, untuk menikahi gadis yang dia cintai dan hidup di pondok kecil Khadeja dan Mak Piah, ibu kepada Khadeja yang buta (lakonan Fauziah Ahmad Daud).

Konflik bermula apabila Alif perlu pulang ke Kuala Lumpur kerana kesihatan ayahnya semakin kritikal, dan dia tinggalkan Khadeja di kampung buat sementara waktu. Dalam masa yang sama, Khadeja baru mendapat tahu dirinya hamil, namun dia tidak sempat untuk memberitahu suaminya. Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, Alif terlibat dalam kecelakaan jalan raya hingga hilang ingatan, sedangkan Khadeja setia menanti kepulangan suaminya. Datuk Afendi mengambil kesempatan untuk menjauhkan anaknya daripada Khadeja, walaupun Khadeja sanggup ke Kuala Lumpur untuk mencari suaminya, namun ketegasan dan keras kepala Datuk Afendi membuatkan dia tergamak menghalau Khadeja yang sedang hamil.

Sepanjang 2 jam menonton Langit Cinta, saya kira penonton pasti lebih menyukai watak Budiman yang dibawakan oleh Farid Kamil. Budiman yang sejak awal menyimpan perasaan terhadap Khadeja terpaksa memendam hasratnya apabila Khadeja lebih menyukai Alif dan mengambil keputusaan untuk berkahwin. Seperti mana namanya, Budiman ternyata seorang lelaki yang budiman. Dia sentiasa ada di sisi Khadeja ketika wanita itu menempuhi waktu-waktu yang sukar sepanjang ketiadaan suami, malahan Budiman jugalah yang menyelamatkan Khadeja dari diperkosa oleh orang suruhan Datuk Afendi. Budiman juga mengambil tanggungjawab untuk mengazankan anak Khadeja, kerana Alif masih lagi belum pulang ke kampung. Kesabaran dan kebaikan Budiman membuka hati Khadeja untuk menerimanya sebagai suami, selepas dia menerima surat cerai dari Alif. Namun ketika Budiman dan Khadeja sedang ingin bernikah, Alif pulang ke kampung bersama Datuk Afendi dan Datin Soraya. Khadeja ternyata keliru, dan Budiman paling kecewa kerana niat sucinya untuk menikahi wanita itu tidak terlaksana.


Watak Budiman ternyata mengundang simpati ramai 

Saya sedikit geram pada babak-babak akhir, yang mana Alif berlari mendapatkan Khadeja untuk memujuk dan menerangkan hal yang sebenar, namun dia tidak pula bercerita apa yang telah berlaku kepada dirinya. Yang Alif ungkapkan cuma rindu itu yang telah buatkan dia kembali. Saya kira kalau dimasukkan babak di mana Keith Foo menerangkan dengan penuh perasaan kondisi dirinya yang hilang ingatan, pasti momen itu akan lebih berkesan dan diingati oleh penonton, namun sayang pengarah tidak pula memasukkan babak seperti itu. Tahu-tahu, Fazura menangis dan merebahkan kepala ke bahu Keith Foo. Jika Osman Ali sengaja menggunakan prinsip ‘show dont tell’ untuk babak itu, pada pandangan peribadi saya seperti tak menjadi saja.

Secara keseluruhan, pada saya Langit Cinta adalah sebuah filem cinta yang sederhana saja. Tidak terlalu cemerlang dan tidak pula teruk. Perjalanan cerita dan babak-babak yang terlalu biasa membuatkan keterujaan ketika masuk ke panggung seakan-akan terencat. Mungkin Osman Ali terlalu selesa dengan elemen drama cinta hingga perjalanan Langit Cinta mudah sungguh untuk diteka. Persembahan barisan pelakon berpengalaman menguatkan filem ini sebenarnya. Fazura yang sungguh banyak mengalirkan air mata dalam filem ini memberikan rasa yang secukupnya tanpa perlu berlebih-lebih. Begitu juga persembahan Fauziah Ahmad Daud, watak Mak Piah sebagai seorang ibu penyayang yang buta dibawakan dengan cemerlang. Kita dapat rasakan kuatnya kasih seorang ibu pada anaknya, dan ternyata kehebatan Fauziah Ahmad Daud masih belum pudar. Pelakon baru sewajarnya perlu berebut untuk berguru dengan pelakon senior seperti beliau. Farid Kamil juga cemerlang menjadi nelayan dan penunggu cinta yang setia. Walaupun Khadeja tak dimiliki, namun watak Budiman pasti disayangi penonton.




Oh, 2 perkara yang saya suka pada Langit Cinta ialah lokasi yang sangat cantik. Nampaknya pantai, laut dan pulau tak boleh dipisahkan daripada Osman Ali. Ombak Rindu dan Pilot juga dihias cantik dengan pemandangan alam yang sungguh mengakagumkan. Pulau Tuba dan beberapa lokasi di Sabah dijadikan kawasan penggambaran, adalah satu pilihan bijak kerana Sabah dan Langkawi mempunyai kawasan virgin island yang sungguh cantik. Secara tak langsung, membantu industri pelancongan kita juga. Saya suka juga dengan lagu tema Langit Cinta yang dibawakan oleh Dayang Nurfaizah. Walaupun melodi lagu ini terlalu melankolik, namun perlu kita faham lagu ini dicipta bersandarkan jalan cerita filem ini. Vokal gemersik dan penghayatan yang cukup mengesankan Dayang ketika menyampaikan lagu, ahh siapa saja mampu menafikan kehebatan wanita kecil molek ini. Harap-harap tahun depan Dayang akan ke pentas AJL lagi lah ya.


Pemilihan Dayang selaku penyanyi ost Langit Cinta, ternyata pilihan yang cukup bijak!



Berapa bintang ya mahu diberi?

3 bintang, ok kot.

5 ulasan: