Jumaat, 29 Januari 2016

Ola Bola - Kita Menang Sama-sama, Kita Kalah Sama-sama!

OLA BOLA     (27.01.2016)

DISCLAIMER:
Ini sekadar pandangan peribadi sahaja. Aku bukan pelajar filem, bukan juga ada latar belakang dalam kritikan filem, sekadar seorang peminat cerita yang selalu melaburkan duit hampir setiap minggu ke panggung. Juga pembaca portal-portal hiburan yang ada memuatkan ulasan dan kritikan filem. Segala percanggahan pendapat, boleh saja utarakan di ruangan komen. Boleh juga berikan kritikan membina dan juga cadangan. 

Pengarah   : Chiu Keng Guan

Pelakon     : JC Chee (Chow Kwok Keong/Tauke)
                Bront Palarae (Rahman)
                Luqman Hafidz (Ahmad Ali)
                Saran Kumar (Muthu Kumar)
                Eric Teng (Eric Yong)
                Lim Jian Wen (Ong Tiam Cai)
                Mark Williams (Harry Mountain)
                Frankie Lee (Pengawal Keselamatan)

Lakon Layar : Chan Yoke Yeng
                   Tan Pik Yee

Penerbit         : Astro Shaw
                      Golden Screen Cinemas
                      Multimedia Sdn. Bhd.




  Ola Bola merupakan antara filem tempatan yang cukup saya nantikan untuk tahun 2016, selain daripada filem Showdown (adaptasi rancangan realiti tarian 8tv) dan juga filem Interchange, buah tangan terbaru Dain Said yang mempertaruhkan Bront Palarae bersama pelakon ternama Indonesia, Nicholas Saputra. Selepas menyaksikan trailer Ola Bola, saya yakin karya Chiu Keng Guan pasti menjanjikan sesuatu yang berbeza dan segar buat penonton, terus saya berjanji untuk menonton pada hari pertama tayangan. Saya meletakkan harapan apabila keluar sahaja dari panggung, saya akan pulang dengan rasa bahagia, seperti saya rasa usai menonton The Journey, dan ternyata, Ola Bola berjaya memenuhi jangkaan dan harapan saya!


Barisan Pelakon Ola Bola

Mengambil inspirasi daripada kisah pasukan bola kebangsaan yang layak untuk menyertai Sukan Olimpik Moscow 1980, namun terpaksa melepaskan peluang keemasan tersebut kerana pihak kerajaan bersama 75 buah negara lain mengambil keputusan untuk memboikot acara sukan tersebut bagi membantah tindakan Russia yang menceroboh Afghanistan, Chiu bersama pasukan kreatifnya berjaya menggarap sebuah kisah yang membangkitkan semangat juang dan nasionalisme penonton sepanjang tayangan filem ini.


Mengambil latar masa pada tahun 1979, Chiu ternyata berjaya menjelmakan suasana dan roh era lewat 70-an dan awal 80-an, apabila berjaya membina set penggambaran dan pemilihan costume yang sederhana namun meyakinkan penonton. Lihat saja penampilan barisan pelakon dalam kostum era 70-an, dari seluar bell bottom yang digayakan pelakon lelaki, dan juga dress kembang yang disarungkan pelakon wanita, serta kesungguhan pelakon membela rambut (pelakon utama JC Chee, perlu melakukan hair extension bagi tampil dengan rambut panjang), usaha pasukan produksi wajar diberi pujian kerana penampilan pelakon cukup meyakinkan. 


Roh 80-an yang menjadi

          Saya juga sukakan suasana ketika berada di fun fair, babak-babak di situ pada saya cukup menjadi untuk mengimbau kenangan penonton pada zaman muda atau kanak-kanak mereka. Lihat babak joget lambak di atas pentas fun fair, babak tersebut sekejap cuma, namun penonton pasti terbuai dengan kenangan masa lalu. Satu lagi babak yang saya kira cukup dekat dengan penonton dewasa ialah babak ketika Rahman (Bront Palarae) sedang berlatih sebagai pengulas sukan di rumah sambil bermain bola menggunakan potongan kad manila dengan anak-anaknya, babak ini pasti membuatkan kita semua tersenyum bila terimbau zaman kecil kita (melainkan kalian tak pernah main bola guna kad manila lah, hehe). Babak ketika berada di stadium Merdeka dalam setiap perlawanan juga cukup cantik. Pasukan filem ini ternyata teliti dalam menampilkan babak-babak yang berkesan dan tidak nampak buruk atau terlalu mencuba-cuba. Penggunaan teknik CGI dalam filem ini seperti tidak disedari, dan saya seperti percaya bahawa semuanya seperti rakaman sebenar di stadium.

Secara keseluruhan, filem ini mengisahkan perjalanan pasukan bola kebangsaan yang bertungkus-lumus berlatih dan berusaha bagi memastikan mereka berjaya dan layak menyertai Sukan Olimpik Moscow.  Namun seperti biasa, setiap perjuangan itu tidak akan pernah menjadi mudah. Penonton dihidangkan dengan konflik-konflik yang dihadapi para pemain sepanjang perjuangan mereka, yang sebahagiannya cukup dekat dengan diri kita. Krisis bersama teman seperjuangan, perselisihan faham antara sahabat, serta masalah dalaman keluarga merupakan antara konflik yang disajikan oleh Chiu selaku pengarah dan dibantu oleh Chan Yoke Yeng serta Tan Pik Yee selaku penulis lakon layar. Konflik ini merupakan sebahagian asam garam yang kita alami sendiri, dan berjaya ditampilkan dengan berkesan ke layar lebar oleh Chiu dan barisan pelakon.

JC Chee selaku Tauke, kapten pasukan kebangsaan

JC Chee diberikan tanggungjawab untuk membawa watak sebagai Chow Kwok Keong, atau digelar Tauke oleh para pemain kerana dia diamanahkan untuk menjadi kapten pasukan. Tauke dilihat cukup komited dalam mengerah anak buahnya untuk berlatih kuat dan bersungguh-sungguh kerana peluang untuk ke sukan Olimpik datang cuma 4 tahun sekali. Kehadiran Harry Mountain (lakonan Mark Williams) selaku jurulatih yang dibawa dari England, telah mengubah suasana pasukan bola sepak tersebut. Keputusan dan perubahan yang dibawa oleh Harry ternyata tidak disenangi sebahagian pemain, terutama sekali apabila Harry mengarahkan Eric Teng mengambil posisi penyerang (sebelum itu, Eric cuma bermain sebagai goal keeper, di bangku simpanan). Tindakan Harry yang menyerahkan jersi nombor 10, peninggalan lagenda bola sebelum ini, Shamsul, ternyata mengejutkan ramai, terutama sekali Ali. Bermula dari itu, berlaku banyak perselisihan fahaman antara Tauke dan Harry, juga antara Eric dan Ali. 


Pemain perlu menjalani latihan ala tentera


        Penonton akan dapat lihat, betapa dalam keadaan tertekan, kita sebagai manusia mudah hilang pertimbangan seterusnya bertindak di luar radar kematangan. Namun, semangat nasionalisme serta semangat juang yang tinggi, berjaya menyatukan mereka semula. Kebijaksanaan Harry dalam membina semula semangat juang anak buahnya, serta kesanggupan Tauke untuk meminta maaf atas kesilapan dan egonya, berjaya merubah nasib pasukan itu yang sebelum itu mengalami kemerosotan dan kekalahan berturut-turut. Saya cukup suka dengan tindakan Harry yang mengarahkan barisan pemain untuk menyertai latihan fizikal ala tentera menjelang perlawanan pra-Olimpik. Kita dapat lihat kesungguhan, kegigihan, dan juga semangat juang barisan pemain cukup kuat bagi memastikan nama negara tidak ketinggalan dari berada di kelompok pasukan bola terkuat dunia. Shoot-shoot yang diambil ketika babak latihan fizikal ini cukup cantik, dan pengarah fotografi cukup bijak ketika memilih untuk memasukkan beberapa babak dalam slow motion yang kena pada masa, yang pada saya cukup memberi rasa, ditambah dengan sound effect yang secara tidak langsung juga berjaya membuatkan penonton rasa berkobar-kobar. Cuma pada saya, babak ketika pelakon bersama dua orang tentera menyanyikan lagu 'Inilah Barisan Kita' ketika berada di dalam helikopter, kurang menjadi. Entah, macam dibuat-buat sedikit pada saya.

Elemen sinematografi dalam filem ini juga wajar diberikan pujian. Lihat pada babak ketika kamera merakamkan para pemain berlari di puncak bukit (kalau tidak silap, babak ini dirakamkan di Bukit Broga), serta ketika kamera memaparkan keindahan alam sekitar Malaysia yang diambil dari ruang udara. Gunung-ganang, tasik, dan lautan ditampilkan dengan cukup cantik dan mengujakan! Saya kira jika ditayangkan kepada penonton antarabangsa, tidak mustahil ramai yang akan berkobar-kobar untuk mengunjungi negara kita. Ternyata filem juga mempunyai kuasa untuk membantu industri pelancongan negara kita. Saya rasa ini memang elemen dan permainan utama Chiu. Lihat juga pada filem The Journey, bagaimana Chiu memaparkan keindahan landskap Malaysia dan juga budaya masyarakat tempatan dengan cukup cantik dan baik.


Tauke - ketua di padang dan di rumah


        Drama keluarga juga menjadi kekuatan filem ini. Tauke terpaksa melepaskan peluang untuk beraksi bersama pasukan di England bagi menyara keluarganya. Kita dapat lihat bahawa Tauke bukan sahaja seorang ketua yang berkaliber di padang, namun merupakan seorang anak dan abang yang baik buat keluarganya. Waktu siang, dia bekerja di pejabat, waktu malam Tauke akan berlatih di padang dan menjemput teman wanitanya yang bekerja di fun fair, pagi-pagi hari juga dia akan menoreh getah bersama adiknya. Konflik terjadi juga di antara Tauke dengan adiknya, apabila adiknya selalu mempertikaikan tindakan Tauke yang masih berada dalam pasukan kebangsaan walaupun pasukan itu sering kalah dalam perlawanan. Pada penghujungnya, penonton dapat memahami perasaan adik Tauke, apabila dia juga terpaksa melupakan niat untuk menyambung pelajaran, walaupun mendapat semua A dalam peperiksaan demi membantu meringankan ibu mereka. Namun, dalam bebelan itu, ternyata adiknya menyokong Tauke dalam diam. Buktinya, menjelang perlawanan akhir Malaysia yang bakal menentang Korea Selatan bagi merebut slot ke sukan Olimpik, dia membelikan televisyen bagi membolehkan ibu dan adik-beradiknya meyaksikan penampilan Tauke dan seluruh pasukan kebangsaan.
Konflik keluarga juga berlaku antara Muthu (lakonan Saran Kumar) dengan bapanya. Bapa Muthu ialah antara individu yang membantah penyertaan anaknya dalam permainan bola sepak, kerana padanya sukan itu tidak menjamin masa depan mereka. Dia mahu Muthu menolongnya di kebun kelapa, bersama adik-adik Muthu yang masih kecil lagi. Konflik semakin memuncak apabila adik-adik Muthu kemalangan ketika memandu lori secara curi-curi, bagi membantu abangnya menghantar bekalan kelapa. Konflik anak-beranak seperti ini biasa kita tonton dalam drama dan filem-filem lain, namun sentuhan Chiu tetap punya keistemewaan dalam membawa emosi penonton menghayati babak demi babak. Chiu juga bijak menyelitkan unsur humor menerusi watak adik-adik Muthu. Budak lelaki 3 orang ini ternyata agak nakal, dan aksi-aksi mereka berjaya mengundang ketawa seisi panggung. Babak paling saya suka dengan 3 budak lelaki ini? Tentu sahaja babak di mana mereka yang curi-curi ke stadium untuk menonton perlawanan tersebut, namun berjaya dijumpai oleh bapa mereka ketika mahu ke tandas. Tonton sendiri keletah 3 beradik yang nakal namun bijak ini. Pasti mencuit hati kalian.

Ali di tangan Luqman Hafidz, yang menjadi!





Penampilan barisan pelakon dalam filem ini pada saya amat menjadi. Walaupun dibintangi oleh ramai pelakon baru, namun mereka memberikan persembahan yang meyakinkan dan juga ekspressi yang menjadi. Bukan mudah untuk berlakon sambil bermain bola sepak, namun mereka berjaya membuktikan kemampuan mereka. Tiada masalah dengan penampilan JC Chee, kerana dia memang seorang pelakon. Banyak drama Mandarin yang telah dia bintangi. Persembahan Luqman Hafidz, seorang pelakon baru sebagai Ali ternyata wajar diberikan perhatian. Penampilan sulung Luqman dalam filem, seperti tidak disedari oleh penonton. Lagaknya seperti pelakon berpengalaman. Watak Ali berjaya dibawa Luqman dengan baik, di mana emosi kemarahannya, serta kesungguhan Ali yang berlatih hingga lewat malam dapat penonton rasai. Luqman Hafidz ternyata perlu diberikan lebih peluang dalam dunia perfileman, dan jika dia diuji dengan watak-watak yang kuat, saya rasa penampilan Luqman pada masa akan datang pasti sentiasa meninggalkan kesan. 

Watak apa yang Bront tak mampu lakonkan?

Jangan lupa juga keberkesanan watak Rahman di tangan Bront. Aksi-aksi bersahaja Bront sebagai pekerja stadium yang perlu menyediakan informasi para pemain dalam setiap perlawanan untuk pengulas sukan, serta keyakinan Bront yang sentiasa berlatih untuk menjadi seorang pengulas sukan, cukup mencuit hati. Bront seperti biasa, tampil dengan bersahaja dan tanpa berlebih-lebihan. Rahman juga antara karakter yang mengajar bahawa dalam hidup,  sikap putus asa tidak patut ada dalam diri manusia. Kerajinan dan kesungguhan Rahman yang sentiasa berlatih untuk menjadi pengulas sukan, hingga terbawa-bawa ke dalam tidur mendidik penonton secara tidak langsung. Rahman juga rajin bertanya dan belajar dari Cikgu, untuk menjadi pengulas yang baik. Kesungguhan dan prestasi yang memberangsangkan Rahman berbaloi, apabila Cikgu memberi peluang kepadanya untuk menjadi pengulas bagi perlawanan penting, Malaysia menentang Korea Selatan. Watak Rahman saya kira diinspirasikan dari karakter Datuk Rahim Razali, yang mana cameo Datuk Rahim Razali walau sekejap cuma,  tetap dirasai dan mengujakan penonton.

Ketegangan dalam changing room

Ola Bola juga tampil dengan lakon layar yang mengesankan. Antara dialog yang meninggalkan kesan dan kuat pada saya ialah dialog yang yang diungkapkan oleh Ah Chai, yang sudah 8 tahun duduk di bangku simpanan. "Walaupun hanya satu skru yang kecil, saya nak jadi skru yang bermakna!" Kesungguhan Ah Chai walaupun peranannya dalam pasukan cumalah sebagai pemain simpanan, dapat penonton rasai. Saya suka juga dialog "Kita menang sama-sama, kita kalah sama-sama!" yang diungkapkan dalam bilik persalinan. Babak ini juga antara babak paling mengesankan sepanjang filem ini ditayangkan. Perbalahan dan juga pertikaian yang berlaku antara pemain dan jurulatih, serta kesungguhan mereka mengenepikan emosi mereka demi maruah negara, membuatkan bulu roma saya berdiri. Babak ini pasti membekas dalam ingatan saya untuk jangka masa yang lama.
Pandangan saya mengenai Ola Bola? Filem ini adalah contoh filem Malaysia yang dibuat dengan jiwa, dengan kesungguhan, oleh anak tempatan yang punya impian besar, dan perlu disaksikan oleh segenap lapisan masyarakat. Ola Bola membawa satu tema yang cukup segar untuk industri filem tanah air, yang mana permainan bola sepak ditampilkan sebagai plot utama perjalanan sebuah cerita. Ola Bola antara contoh filem berkualiti yang tidak mengenepikan elemen komersial. Chiu bijak membikin filem yang membuat penerbit bersetuju untuk melaburkan sejumlah wang yang besar, namun dalam masa yang sama filemnya punya isi yang kuat. The Journey arahan Chiu pernah menjadi filem Malaysia dengan kutipan paling tinggi dalam sejarah filem tanah air (RM18 juta), sebelum dicantas oleh Poli Evo, juga diterbitkan oleh Astro Shaw. Mampukah Ola Bola mencatatkan satu lagi kutipan besar seperti dua filem ini? Kalian yang bakal tentukan. 



Secara keseluruhan, saya beri 4.5 bintang buat Ola Bola. Terima kasih kerana memberikan saya kebahagiaan ketika meninggalkan panggung wayang. Filem ini cukup berbaloi untuk kita tonton. Kaki bola dan kaki wayang, jangan lupa untuk serbu panggung!

2 ulasan:

  1. syabas! ulasan yang meyakinkan dan impressive. filem wajib tonton tahun ini!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tq atiq. Tq sebab ajak aku pergi tengok The Journey, dan kenalkan aku dengan hasil kerja Chiu. Pergi tengok atiq, rm15 kau takkan rugi. ;)

      Padam