Sabtu, 5 September 2015

Ubah.

Aku masih teringat pada tragedi 26 September 2004.

Siapa boleh lupa pada satu musibah melanda benua, dan Asia Tenggara pada khususnya. Dah janji Allah, tiada siapa mampu menafikan ketetapan Dia walau sesaat.

Satu dunia terkejut dengan berita gumpalan ombak raksasa yang rakus menelan darat dan tanah.
Ketulan-ketulan manusia umpama semut hitam habis ditarik mentah-mentah dikebumikan dalam perut laut. Negeri Aceh yang terbina sebagai sebuah pulau kecil, habis dipukul dari hujung ke hujung. Terlalu ramai anak kecil yang menjadi yatim piatu sekelip mata. Berpuluh ribu manusia hilang rumah dan harta benda. Berjuta-juta tak berhenti melafaz simpati.


Tapi itulah, siapa kita untuk melawan arahan Dia?

Dugaan. Sesungguhnya tiada tuhan pernah berlaku zalim dengan diturunkan ujian yang melampau, melainkan Dia tahu bahawa beban itu terpikul oleh kita.


Maka dengan satu asbab, iaitu ombak besar, maka berubahlah segala-galanya. Yang dulunya tanah itu hijau permai dihuni damai manusia dan haiwan, kita bersalut lumpur dan kotor, sesudah kering jadi padang jarak padang tekukur. Yang dulunya megah terbina bangunan dan rumah serba indah, kini jadi tanah selapang-lapang, saujana mata memandang.


Kalau Tuhan kehendaki, yang berdiri berpaksi kukuh sampai ke langit pasti akur menyembah ke bumi.



Boleh kan kalau-kalau aku jadikan hal ini sebagai metafora kepada kita, seorang manusia?
Kita yang ibarat seketul sampah penuh dosa yang berdiri dan meneruskan hidup atas rahmat dan ihsan Tuhan. Kalau-kalau Tuhan kehendaki, si pendosa tegar pasti saja sekelip mata boleh jadi ahli syurga. Ketua Paderi ramai juga melafaz sumpah taat setia pada agama Allah, setelah dikurniakan taufiq dan hidayah. Bukan kita tak pernah baca kisah banduan-banduan yang punyai berpuluh-puluh rekod jenayah yang kita terfikir betapa kejam dan zalimnya mereka, namun kerana diberi peluang dan Tuhan juga bermurah hati untuk lembutkan hati mereka, terus keluar-keluar mereka menjadi sebaik-baik manusia. Malah jauh lebih mulia dari kita yang hati selalu prasangka.


Manusia. Biasalah.


Hati ini umpana segumpal daging yang bila disucikan, maka wangilah ia, kalau dibiar lama-lama tidak dijaga tidak dibela, maka hitam, berkedal dan berdakilah gumpal daging itu.



Aku selalu terfikir, kalau Tuhan yang pemilik segala benda di muka bumi, pemilik setiap satu zarah di langit dan merentasi galaksi yang otak kita tak mampu fikir, namun tak pernah leka dalam memberi belas dan ihsan pada kita si hina yang mengemis kasih-Nya, kenapa kita pula manusia yang berdiri sama-sama dengan segala macam dosa, masih selalu pandang rendah dan hina pada yang lain?


Dosa kita banyak.

Kau, aku, kita, dia, mereka.

Sama saja.

Kita pendosa tegar.


Cuma kita terbeza dengan dosa apa yang kita telah lakukan. Mungkin dosa kau hari-hari melayan video lucah sembunyi-sembunyi dalam rumah, sedang kawan yang lain punya dosa sentiasa mengumpat tak kira masa.

Dia tetap berdosa. Berkata buruk pada manusia lain. Cuma dosanya ternampak jelas pada manusia keliling.


Sedang kau, dosanya besar juga, cuma kau berusaha untuk menyorokkan pekung di dada. Entah macam mana bau bangkainya, Tuhan saja tahu. Pun masih lagi Tuhan bermurah hati tolong simpankan aib kita, mana tahu esok lusa kita mahu berubah, tiada aib yang perlu kita jelaskan pada lain-lain manusia.


Benar bukan? Siapa kita untuk menghakimi manusia lain. Lagi-lagi kita jadikan diri mereka pada 1472 hari yang lalu sebagai penanda aras mereka pada hari ini. Kita manusia kawan. Selagi mana kita punya niat mahu berubah, selagi ada nyawa dikandung badan, Tuhan tak pernah sesaat menutup pintu taubat. Berubahlah. Ikhtiar lah. Sekusut mana hidup kita, selirat mana pun masalah kita, dan seserabut mana pun fikiran, selagi ada kemahuan, ada jalan yang terbentang.


Kalau kau masih terdetik di hati mahu menilai dan menghukum manusia lain pada dosa dia zaman dulu-dulu, kau mungkin terlupa untuk menyemak sejarah.


Macam mana sebuah negara Tuhan terbalikkan sekelip mata kerana jahanamnya manusia pada zaman itu menolak agama Allah.


Kau terlupa juga macam mana megahnya berdiri World Trade Centre dulu, tapi dalam masa beberapa ketika rebah ke tanah akhirnya.


Dan mungkin kau terlupa kisah yang diceritakan pada zaman dahulu, seorang pelacur yang dihadiahkan syurga kerana bermurah hati memberi anjing minum dengan kasutnya (ada yang kata bahawa hadith mengenai kisah ini tidak kuat, wallahualam. Sekurang-kurangnya kisah ini ada teladan untuk kita ambil).


Bayangkan, manusia yang hidup sentiasa bergelumang dengan maksiat dan dosa besar, masih lagi Tuhan beri hadiah paling besar, iaitu syurga Dia di sana.



Kalau-kalau dulu kau rasa aku, atau kami ini jijik dan hina, percayalah setiap hari manusia sentiasa berubah.



Jangan kerana dengan ada ilmu agama, kau sudah megah, jalan-jalan mendabik dada. Kau sudah rasa pahala kau terlalu mewah sampai jadi tiket mudah kau terbang laju melepasi Titian Siraj.


Jangan kawan.


Aku, kami, kita selalu berevolusi.


Setiap zarah, secebis kuman busuk di hati Tuhan tahu.



Kalau kau rasa geli pada pendosa lain, apa kata kau lapangkan tangan untuk menadah doa.
Berdoalah semoga suatu hari nanti, si hina yang kau benci dan kau pandang sebelah mata itu boleh jadi elok dan mulia. Macam kau.


Kalau ada terkasar pada mana-mana bicara, atau terguris pada khilaf zaman dahulu kala, jangan lah dihukum sampai seribu tahun.


Kita sama-sama cari redha Ilahi.



Dosa aku mungkin begitu. Terlalu jelas terlihat pada mata manusia.
Mungkin baik itu sengaja Tuhan simpankan, biar tak ramai yang tahu.


Sedangkan kau, Tuhan beri peluang untuk semua orang nampak baik dan mulianya kau.
Tapi pekung dan nanah dalam hati, Tuhan biarkan tersimpan dalam-dalam.


Kita sama-sama manusia.

Berdiri di dunia dengan serba hina.





(entri ini bukan ditulis bagi memerli atau menyinggung sesiapa. entri ini ditulis untuk muhasabah diri. 'Aku' dalam entri ini bukan ditujukan kepada aku, cuma didirikan sebagai sebuah watak sahaja. Tiada apa yang peribadi.)  =)

Selasa, 21 April 2015

Mimpi.

Orang kata, mimpi tu cuma mainan tidur.

Orang kata, mimpi itu cuma hiasan masa kita lena.

Dan orang juga selalu kata, mimpi itu benda yang tak perlu untuk dipandang terlalu besar.


Dengan muncul tanpa jalan cerita, dengan plot-plot yang jauh melompat dan berselirat tanpa ada perkaitan, aku tak nafikan kata-kata mereka. Ada juga yang berkata, mimpi yang kita lalui merupakan satu pengalaman perjalanan roh kita saat jasad sedang berehat. Roh kita bergerak bertemu roh mereka lain yang kita jumpa dalam mimpi. Mungkin juga ada benarnya.

Tapi, mimpi juga pada aku menterjemah rasa paling dalam seseorang manusia. Kau tahu, tak semua benda kau boleh kisahkan pada manusia. Kau faham, tak semua perkara kau boleh ceritakan dengan sahabat, dan kadang-kadang keluarga juga. Dalam hal-hal tertentu, kau selalu jadi manusia terpencil untuk memendam rasa dan cerita. Aku juga macam tu. Selalu, malah sangat selalu bercerita dengan diri sendiri. Bermonolog dalaman. Aku berkawana baik dengan diri sendiri, sebab dia paling faham tiap perkara yang aku rasa.


Jadi, dalam banyak perkara, ada kisah-kisah terpencil yang jauh terperuk dalam ruang kecil, bernama hati. Di situ, semua kisah paling sensitif, kau pendam dan eramkan. Dengan alasan yang macam-macam. Mungkin sebab menjaga hati. Mungkin mahu menjaga perasaan manusia lain. Entah demi memelihara aib sendiri. iyalah, kalau Tuhan bermurah hati memelihara aib yang kita cipta, perlu apa kita mahu menjaja pada manusia, kan? Dan mungkin juga ada perkara yang memang tak perlu untuk kisah cerita, lalu kita biarkan tertanam dalam-dalam. Kita abaikan dengan suasana paling sepi.


Sampailah semua rasa diterjemah. Ringkas tapi rapi.


Dalam sebuah mimpi.



Menjadi seorang manusia berjantina lelaki dan mencongak umur yang lagi berapa hari menginjak ke 1/4 abad, aku kira semua orang menjangka aku untuk berdiri dengan kematangan paling tinggi, juga punyai kestabilan emosi yang kukuh. Faham. Itu yang memang sepatutnya. Itu yang memang aku kena ada pada usia macam ini.


Untuk itu, wajarlah aku untuk menjadi lebih rahsia. Dalam banyak perkara.
Tafsiran manusia itu bezanya jauh melebar.
Kadang-kadang kita bercakap mengenai A.
Cara tafsiran mereka, mungkin mereka membayangkan mengenai 'A' kecil. Atau mereka bayangkan A yang ditulis senget. dan dengan font yang bezanya berjuta. Satu benda itu boleh ada tafsiran yang jauh berbeza.


tapi, tetap juga kita manusia biasa.
ada rasa.
ada emosi.
ada perasaan.
no one can deny that.


untuk kesekian kali memendam rasa rindu, rindu yang sangat mendalam. rindu pada Papa, rindu pada Baba. Papa dah pergi 2 tahun lebih. 3 Jan 2013, Magrib Khamis malam Jumaat, the last moment Tuhan izinkan Papa untuk berada di bumi, sebelum dijemput Ilahi ke alam satu lagi. Baba pula tinggalkan kami pada 12.12.2009, tahun keenam kami kehilangan Baba.


Mana mungkin aku tak rindu pada seorang bapa. Yang sejak kecil bertungkus lumus dengan segala kudrat yang dia ada, besarkan kami 5 beradik. Yang tak pernah merungut dan bersungut tentang payahnya membesarkan 5 anak yang jauh beza karakter dengan keras kepala.


Tak mungkin juga aku tak rindu pada Baba. Atuk yang sangat-sangat-sangat penyanyang. Aku masih ingat, setiap kali balik sekolah, bila nampak selipar Baba ada depan pintu, aku akan menjerit, dan berlari cari Baba dalam rumah. Ada masa Baba tengah tersenyum dengar suara aku, duduk di meja makan. Kadang-kadang, Baba tengah berbaring depan tv. Berehat. Kalau tak, baba tengah tidur atas katil aku. Aku jerit dan dapatkan Baba, salam, cium pipi, cium dahi. Yes, i do all that things sampai Baba tak ada, sampai aku umur 19. Thats how i show my love to Baba.


entah, mungkin terlalu rindu, tiap-tiap malam, aku akan mimpikan mereka. Papa dan Baba. Apa yang muncul dalam mimpi, biarkan aku simpan seorang diri. Cuma itulah, entah apa tafsiran mimpi tu. Aku tak pasti, dan tak mengerti. Cuma syukur, walau sekejap-sekejap, aku tetap dapat jumpa mereka. Mendengar suara mereka, dapat merasa sentuhan mereka, Allahuakbar, lapang sangat dada. Sangat. Dapat lihat senyum mereka, indah. Dapat duduk bersebelah.


Kalau Tuhan jadikan mimpi sebagai medan pertemuan, kerana kasihankan aku yang terlalu rindu, dengan rasa rendah hati, aku amat bersyukur. Amat sangat.


dan kalau-kalau ada maksud tersirat, aku pun kuranglah pasti.

entah-entah tak lama aku juga bakal dipanggil berpulang ke daerah abadi, macam Papa dan Baba. Boleh jadi juga. Tiap jasad yang dipinjamkan roh ke atas mereka, pasti rebah ke tanah menemui Sang Pencipta. itu resam alam yang sejak awal sudah dijanjikan.



Bersedia atau tidak, semua terletak pada kita.




aku, seharusnya dengan segala dosa yang melaut dan menggunung, mestilah tak bersedia lagi.

Ampunkan dosa kami, Ya Rabbi.


Khamis, 8 Januari 2015

Senyum. Volume II.



Bertemu lagi.

Aku tau aku bercakap sorang-sorang. Im not expecting any readers, or viewers as my blog is not promoted via fb, twitter, instagram. Nasib kalau korang terjumpa dari Google. Harap ada waima secebis perkara yang boleh aku kongsi. Aku suka bercerita. Walau tiada yang baca, tak apalah. Asalkan benda ni tak terus bersarang dalam otak, fair enough.

Ini entri ke-2 aku untuk 2015. Kalau masih ingat, kisah seorang Apek a.k.a Uncle yang gigih, cekal mengukir senyum, walau ditengking dan diherdik, dan walau maruah seaakan dipijak dan dihenyak. Aku selalu tertanya, hina sangatkah menjadi manusia miskin pada mata masyarakat? Bacin sangatkah badan orang tak punya harta nak dibandingkan mereka yang sentiasa dibalut kemewahan. Dan kalau ya, apa perlu heran. Orang yang kurang pada kaya cuma mampu bersyukur pada rezeki apa ada. Atau, jadi satu dosakah untuk orang yang tak berharta untuk miliki satu benda bernilai, bernama 'Bahagia'?


Untuk orang-orang macam ni, sedarlah, tiada manusia minta untuk dihidupkan dalam keadaan tak punya apa-apa. Mana ada manusia yang suka lihat isteri dan anak hidup dalam kesempitan, pakai baju sempit serabai, harap ihsan orang, makan bercatu-catu semata-mata mahu cukupkan bekalan makanan, mana ada bapa yang mahu lihat anak ke sekolah dengan pakaian putih tapi kuning, kasut koyak tak berganti, beg yang talinya dah cemamai tunggu masa terputus kasih, dan alat tulis yang asa ada. Tak ada ibu bapa yang mahu lihat anak mereka membesar dalam kesusahan. Tak ada.


Hari tu, aku bawa ibu dan adik aku pergi makan di medan selera. Orang Batu Pahat mesti tau Benteng. Makan macam biasa. Sembang dengan abang kedai yang memang peramah dan kenal dengan arwah Papa. Melayan kucing-kucing yang bersepah dan cukup banyak orang buang di situ. Kucing yang terlebih peramah. Yang tanpa segan dan silu, panjat kaki pelanggan demi secebis makanan. Habis makan, kami semua menuju ke kereta. Mahu pulang.


Elok je punggung mendarat atas kusyen kereta, mata kami semua tertancap pada susuk seorang gadis. Manis dengan tudung labuhnya, bergerak dari satu meja ke satu meja. Dikendong beg di bahu, sambil tersenyum manis promosikan produk jualan. Itu gelagat biasa di medan selera yang ramai pelanggan. Banyak peniaga yang mahu mencuba nasib mencari rezeki. Cuma, modus operasi mereka bukan berniaga di kedai yang fizikal, mereka lebih mengharapkan kekuatan tubuh dan keupayaan sendiri. Bergerak ke hulu ke hilir. Pada aku, mereka memang cukup gigih. Kagum.


Ibu cakap, perempuan muda tu muallaf. Memang selalu ibu nampak dia akan berniaga sekitar bandar. Aku diam. Kasihan. Untuk wanita muda yang baru diberi hidayah, dan kemudian berniaga dengan cara begini, aku rasa kita semua mesti akan rasa simpati. Tak semua orang sanggup untuk pergi dari meja ke meja untuk berniaga. Ramai pasti jawab 'Malu' kalau disuruh buat macam tu. Aku pun sama.


Tapi, ada benda yang cukup merimaskan mata.
 Ada benda yang aku rasa cukup geram.
Ada perkara yang masih aku tak faham.


Masyarakat kita.
Masyarakat yang cepat menghukum.
Masyarakat yang kadang-kadang menjadi terlalu kejam.
Masyarakat yang suka memberi pandangan keji.


Aku cukup geram, bila orang-orang yang sedang di-approach oleh gadis tu, dengan selamba beri pandangan cukup menjengkelkan. Dia punya pandang, takat guna anak mata je. Acuh tak acuh. Tak ditoleh langsung si muallaf yang tengah bercakap. Makin aku menyirap, bukan satu meja, tapi majoriti semua sama je. Bukan main dijeling muallaf ni. Macam orang tu hina sangat. Macam orang tu kotor dan berbau pekung. Dan kalau iye pun, tak perlu buat muka macam tu. Instead of give the bulshit kind of facial expression, why dont the society just smile and say 'No, thanks'. Bukannya payah dan kena kerah tenaga. Cukup gerakkan sikit otot-otot kat muka. Thats all. Oh, dan juga kena ada sikap ikhlas. This one is so importent. Aku suspek dorang ni semua papa kedana dengan nilai ikhlas. Hati dan jiwa dorang kosong dan tandus dengan kasih sayang. Gersang. Kering kontang.


Entah. Aku ni terlebih nilai empati ke?


Terkesan. Aku nampak macam mana muallaf ni datang dengan beg dari meja ke meja, dengan mulut tak lekang senyum. Bersungguh-sungguh dia cuba bercerita pasal benda yang dia jual. Dan manusia berhati tahi dan najis cuma jeling dan geleng kepala. Muallaf ni tak tarik muka pun, tetap dia senyum sambil tertunduk-tunduk kepala ucap terima kasih. Senyum. Mata dia bulat berkaca masa menerangkan dan ucap terima kasih. Dan mata kita tak buta, hati kita tak gelap untuk sedar dan menilai senyum mana yang dibuat-buat dan senyum mana yang ikhlas dari jiwa.
Muallaf ni, muka dia sangat innocent.


Aku yang rasa malu tengok kaum aku yang terlahir menjadi Muslim, tapi dalam berpuluh tahun menjadi Mukmin, benda semudah ini pun mereka tak boleh nak amal. Muallaf yang baru kenal dan mendalami Islam, lebih bersopan kata dan bahasa, juga pada tiap tingkah laku. Malu. Tak jatuh nilai dan darjat seorang manusia untuk berbuat baik pada manusia lain. Itupun kalau manusia tu berdarjat. Entah-entah kau punya tahap pun sama macam dia.


Aku cukup tak faham kenapa masyarakat kita, pada tahun 2015, masih boleh berperangai macam manusia tak bertamadun. Apa jijiknya berniaga macam dia buat? Bukannya dia minta sedekah atau minta duit kau. Dia cuma seorang peniaga, yang bergerak dari meja ke meja. Kalau tak mahu beli, you have the right to say no. Not a big deal. It just people should learn the art to say no and rejecting in a proper way and also using a good words. Itu je.


Oleh sebab kesian, aku suruhlah adik aku turun beli benda yang dia jual. Sokong saudara baru kita berniaga. Kalau makanan, bolehlah dimakan, perut kenyang. Sedap ke tak, tak ape, belakang kira. Kalau benda lain, masih boleh diguna dan dipakai. Kalau bukan kita yang sokong saudara kita, siapa lagi, kan?


Rupanya dia jual minyak wangi botol golek kecik tu, dan pewangi kereta. Adik aku beli pewangi bau strawberi, yang bukan selera aku. Then I decided to go and change the perfume by myself. I just want to listend for her voice, and see closely how she sell her products. Masa aku bergerak ke arah dia, dia sedang menjual pada satu keluarga. Alhamdulillah, this family give a good respond towards her. Aku tunggu di tepi, biarkan dia habis menjual di meja tu. Sudah itu, cepat-cepat aku pergi dapatkan dia.


"Kak tadi adik saya beli perfume kereta ni, tapi saya nak tukar. Perfume ni ada bau lain tak selain strawberi? Bau lemon ada tak?"

"Maaf, tak ada.Cuma ada ini saje."

"Oh yeke? Haa ok lah kalau macam tu. Saya ambil jelah strawberi ni. Terima kasih ye."

"Terima kasih."


Dia punya ucap terima kasih, memang usik perasaan bro. Macam aku cerita tadi, bukan takat muka dia tersenyum, mata dia bercahaya, tapi siap dia tundukkan kepala. It just so genuine. Argh. Aku rasa sangat segan. Aku rasa sangat kesian. Dan aku rasa cukup malu.


Segan sebab muallaf ni sangat berbudi bahasa. Ikhlas.
Kesian, sebab dia perlu berniaga dari meja ke meja dan jumpa ramai manusia yang macam celaka.
Dan malu sebab saudara baru ni jumpa ramai saudara sebangsa aku yang hati busuk macam tahi.


Sepanjang malam, sepanjang drive kereta, sepanjang mahu lelap mata, dan 2-3 hari lepas kejadian tu (31 Disember 2014, malam), aku masih teringat-ingat pada dia. Pada senyum dia yang luar biasa. Pada yakinnya dia berniaga walau ramai yang pandang hina. Dan pada gigihnya dia cari rezeki halal. Ujian untuk saudara baru aku tau bukannya kecil. Ada yang dibuang keluarga saat mereka nekad untuk menjadi seorang Muslim. Ada yang terpaksa tinggalkan dunia lama mereka dan bermula dari kosong. Tanpa apa-apa. Jalan mereka penuh ranjau dan liku.


Aku memang kalah dengan senyum. Senyuman ikhlas yang senang dibaca mata. Rasa dia sampai ke dalam. Sangat dalam. Aku berdoa semoga dia sentiasa terus gigih. Semoga Tuhan permudahkan urusan dan hidup dia. Semoga dia sukses berniaga. Dan semoga satu hari nanti dia buktikan bahawa menjadi susah tu tak mengapa, dan tak mustahil esok atau lusa dia boleh kaya dan berjaya.


Senyum dia masih aku ingat. Dan senyum uncle di farmasi juga sentiasa aku kenang.

Tak apa jadi orang susah. Usaha. Usaha. Tak payah peduli pandangan orang.

Both of them inspired me a lot.


Khamis, 1 Januari 2015

Senyum.

Senyum itu sedekah.
Kata orang.
Entah siapa pemula kata-kata ini, tapi orang-orang tua zaman dulu, walau latar akademik mereka tak tinggi, dan atuk nenek kita, ramai juga yang tak bersekolah, tapi cara mereka berfikir selalu jauh terkehadapan.


Betul. Dengam melempar sebuah senyuman, hati gundah rasa tenang. Jiwa gelisah, rasa berbunga. Fikiran berkecamuk, mula tenteram. Siapa yang mampu menidakkan kuasa dan nilai sebuah senyuman? Kau? Aku? Dia?
Tak ada siapa. Dari senyuman, rasa dan getarnya laju tertangkap di mata dan sampai tepat di jiwa.


Dan aku selalu kalah dengan pemilik senyum yang manis, ikhlas dan menawan.
Lagi kalau baris gigi bersih teratur, mata tersepet tersenyum, takpun bulat bersinar.


Kalau kau rasa tulisan aku cuma nak berkisah pasal cantik seorang gadis berkulit putih mulus, yang terletak elok hidung mancung bak seludang, sambil kiri kanan bawah pipi terhias dengan lesung pipit yang dalam 4 kaki ke dalam, Im soo sorry, korang silap.


Aku nak bercerita pasal dua kejadian yang mana dari sebuah senyum, mampu buat aku rasa tak keruan. Dua tiga hari aku rasa tak lalu makan, rasa serba tak kena, dek penangan senyum yang pure. Dari kaca mata, kita tau senyum tu dari rasa paling suci. Cahaya dari mata jarang menipu kita. Bukanlah aku ahli nujum atau pak dukun yang tepat dalam firasat, tapi entah. Instict.



Senyum Yang Pertama.


Kawan aku, Zaki pesan tolong belikan ubat dekat Farmasi Pertama. Farmasi paling otai paling lejen dekat daerah aku, Batu Pahat. Farmasi yang masih guna rak kayu dan rak kaca macam zaman awal 90-an tu. Farmasi yang masih pakai kipas siling bilah tiga yang zaman tok adam, warna dah kuning perang. Farmasi yang pelanggan beratur dalam 2 barisan tegak sampai depan muka pintu. Pernah aku beratur belikan ubat ibu, 1 jam 10 min baru siap beli ubat. Memang lejen.


Aku dah siap cakap dengan Uncle taukey farmasi tu ubat yang Zaki pesan. So, dia pergi ke ruang dalam kedai, geledah cari ubat yang aku minta. Sambil menunggu, macam biasa semua orang buat, mata sibuk keliar ke hulu ke hilir. Tiap ceruk kedai aku perhatikan.


Sebelah aku, berdiri sorang Apek. Umur aku rasa lewa 40-an tak pun awa 50-an. Baju tak berapa kemas. Hurm, biasalah. Apa nak heran. Aku yang muda pun selekeh serabai je. Apek tu dilayan oleh Auntie, isteri Uncle Taukey tadi. Biasa, setahu aku, Auntie ni ok je, peramah, budi bahasa ok, layanan elok lah dia kasi kat para pelanggan. Tapi hari ni, aku tengok lain macam.


Apek ni cakap Mandarin dengan Auntie. Dia mestilah nak beli ubat kan. So auntie keluarkan lah pil sepapan, nak diberi ke Apek tadi.Aku mana reti bahasa Mandarin, tapi dari gerak mulut, mimik muka, ton suara, mestilah faham perbualan mereka.


Baru aku tau, Apek tadi tak mau beli sepapan pil tu.Dia tak cukup duit. Dia seluk poket. Dia keluarkan semua duit dia ada. Berkeping-keping nota RM1. Allahuakbar. Apek ni tersenyum tunjuk pada Auntie tu duit yang dia ada. Mungkin dia cuma mampu untuk beli beberapa biji pil tu je. Apa yang menyedihkan, reaksi Auntie tu. Selamba dia tinggikan suara, atau boleh dikatakan menengkin apek tu, dia bercakap tanpa hirau berbelas manusia yang beratur panjang dan nampak drama tu berlaku depan mata.


It just like, 'Seriously?'


Aku tergamam. Aku rasa sebak, apek tu cuba explain keadaan dia. Entah anak dia, isteri dia, atau mak dia yang sakit, perlukan ubat. Paling sayu, walau dia ditengking, senyum tak pernah lekang dari wajah dia. Mata dia bersinar dalam senyuman. Entah dia cuba nak tutup rasa malu diperlakukan macam tu depan orang, atau dia memang sudah takde rasa malu demi kelansungan hidup keluarga dia.


Aku rasa macam bodoh bila tak terfikir untuk offer diri, hulur duit sikit tolong apek tu beli terus sepapan ubat tu. Biar auntie tu terdiam, jangan suka hati nak underestimate orang. Sekurang-kurangnya, apek tu mau beli, bukan minta free, jauh sekali nak mencuri. Dalam keterpaksaan, dengan muka masam mencuka, auntie tu tetap beri pil dengan jumlah yang diminta. Dia potong pil tu, dari sepapan jadi dua bahagian.


Punyalah tersenyum suka apek tu. Berkali-kali dia ucap terima kasih. Tertunduk-tunduk kepala dia. Auntie farmasi tu memang jenis berhati teging kot, muka tetap mencuka.Langsung dia tak balas ucapan apek tu. Sekali lagi, dia kira-kira duit RM1 yang berkeping-keping tu.


Argh. Aku tak suka dan tak sampai hati nak tengok drama sayu macam ni. Lagi pula bila berlaku depan mata. Korang tak nampak muka apek tu. Muka yang redup mata dia, kita rasa ikhlas dia, yang dari senyum dia, kita tau rasa yang dia rasa. Kau tak tengok dia tersipu-sipu bila ditinggikan suara depan orang ramai, kerana tak cukup duit.


Dan dia tetap tersenyum. Terus tersenyum.



Kisah senyum yang seterusnya nanti aku ceritakan.
Aku masih terbayang-bayang lagi senyum itu.
Masih menangkap jiwa.
Masih menggegarkan dada.
Masih senyum itu buat aku tak keruan.




Isnin, 20 Oktober 2014

Bakal Kembali.

Harap dalam masa beberapa hari lagi, akan ada posting baru daripada aku.

Walau tiada yang baca, who's care?

Khamis, 21 Ogos 2014



BLOG INI SEDANG DALAM PROSES RENOVASI. SILA DATANG LAGI.


THIS BLOG IS UNDER CONSTRUCTION. PLEASE COME AGAIN LATER. THANK YOU.